Wednesday, December 26, 2012

Mulut Berbau: Apa Anda Harus Tahu ??


MASALAH mulut atau nafas berbau sememangnya memalukan. Namun, ia pasti lebih memalukan jika mereka yang mengalami tidak menyedarinya atau membiarkannya tanpa sebarang tindakan.
Ini kerana masalah yang juga dikenali halitosis ini bukan setakat membabitkan individu tetapi juga boleh menyebabkan seseorang itu dijauhi. Apakah puncanya masalah ini?
Faktor utamanya adalah disebabkan sisa makanan yang tertinggal di celah gigi. Sisa yang tidak dibersihkan pula akan mereput dan akhirnya menyebabkan nafas berbau. Masalah gusi juga mungkin boleh menyebabkan mulut berbau.
Justeru, memastikan mulut sentiasa bersih adalah tanggungjawab kita sepanjang masa. Mulut tidak hanya membantu fungsi mengunyah makanan, tetapi pada masa sama menjadi rumah kepada ratusan dan mungkin utaan jenis bakteria. Keseimbangan antara jenis-jenis bakteria ini memastikan mulut sentiasa segar.
Perlu diingat, punca mulut berbau tidak sama bagi setiap orang. Pemeriksaan dengan doktor gigi akan memastikan punca sebenar masalah anda.
INFO: Tanda-tanda mulut anda berbau
  • Anda sering berasa ada bau busuk atau rasa kurang enak dalam mulut
  • Rakan atau orang di sekeliling menutup mulut atau mengalihkan pandangan apabila anda bercakap
  • Ada rakan yang menegur atau menghulurkan gula-gula kepada anda
  • Ada kesan atau calitan berwarna kuning atau putih pada lidah anda.
Ada beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini. Kerap kali, menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan perbuatan flos gigi setiap hari juga membantu menghilangkan bau mulut.
Membersihkan gigi setiap hari.
Pastikan anda memberus dan juga menggunakan benang flos dengan betul setiap hari kerana ini akan membuang bakteria dan juga lebihan makanan yang digunakan oleh bakteria untuk hidup. Dengan ini bakteria tidak akan menghasilkan sulfur yang menyebabkan mulut anda berbau.
  • Pastikan juga anda tidak tergesa-gesa memberus dan flos gigi anda kerana ianya tidak akan menghilangkan semua bakteria tersebut. Ambillah masa paling kurang 2 atau 3 minit untuk memberus gigi anda.
  • Jangan lupa untuk menggunakan benang flos kerana memberus gigi tanpa menggunakan benang flos seperti anda membersihkan 70% sahaja gigi anda, selebihnya masih kotor.
  • Membersihkan lidah setiap hari
  • Ramai yang terlupa untuk membersihkan lidah semasa menggosok gigi. Ingatlah bahawa banyak bakteria bersembunyi di rekahan pada lidah dan juga di bahagian belakang lidah.
  • Anda boleh membersihkan lidah dengan menggunakan pembersih lidah (tongue cleaner). Ada juga berus gigi  jenis mempunyai pembersih lidah di belakang kepala berus gigi.
  • Selain itu, anda juga boleh menggunakan berus gigi yang lembut untuk memberus lidah anda secara perlahan-lahan dengan menggerakkan berus dari belakang lidah ke bahagian hadapan berulang kali sehingga bersih.
  • Minumlah air
Anda memang disarankan untuk meminum air paling kurang 2L sehari. Adalah lebih baik jika anda mengisi air di dalam botol dan sentiasa meneguk air dengan kerap sepanjang hari. Dengan ini mulut anda akan sentiasa dibasahi air sepanjang hari. Untuk mereka yang mengalami masalah kekeringan mulut disebabkan ubat atau mereka yang selalu bercakap, cara ini paling bagus untuk memastikan mulut anda sentiasa berair.
  • Meminum air boleh merangsang pengeluaran air liur, membilas lebihan sisa makanan pada gigi, dan juga melembabkan mulut yang membuatkan ia kurang sesuai untuk di diami oleh bakteria anaerob.
  • Elakkan guna pencuci mulut yang mempunyai alkohol
  • Ramai yang menyangka bahawa dengan menggunakan pencuci mulut, bau nafas akan menjadi segar dan tidak berbau tetapi mereka tidak merawat punca sebenar mulut mereka berbau jadi cara ini hanya bersifat sementara.
  • Jika menggunakan ubat kumur yang mempunyai alkohol, ia boleh menyebabkan kekeringan di dalam mulut yang menggalakkan pembiakan bakteria yang menyebabkan bau mulut. Jika hendak menggunakan ubat kumur, pastikan ia tidak mengandungi alkohol.
  • Mengunyah gula getah tanpa gula
Jika anda tidak dapat memberus gigi selepas makan ( terutamanya makan tengah hari ataupun snek), anda boleh mengunyah gula getah tanpa gula. Dengan mengunyah gula getah, sisa-sisa makanan boleh dibersihkan dan pengeluaran air liur akan di rangsang.

No comments:

Post a Comment